Sunday, June 24, 2007

PANDUAN UNTUK KITA

Tidur Tidak Cukup Jejas Mutu Hidup

SUKAR untuk bangun pada waktu pagi? Rasa mengantuk pada waktu petang? Adakah fikiran anda sentiasa teringatkan tilam empuk, walaupun ketika anda sedang sibuk bekerja pada waktu siang?

Ini semua adalah senario biasa di kalangan rakyat Malaysia, bukan kerana kita malas, tetapi kerana ramai antara kita kekurangan suatu aktiviti yang penting dalam hidup kita, iaitu tidur. Malangnya, pada zaman masyarakat berlumba-lumba mengejar kemakmuran dan terpaksa bekerja hingga lewat petang atau malam, kita mudah terjebak ke dalam gaya hidup yang tidak sihat.Menurut Malaysian Medical Associate1, masalah berkaitan tidur adalah antara rungutan klinikal yang paling kerap dilaporkan di Malaysia hari ini.


Satu punca utama yang menyebabkan kita sukar tidur ialah bunyi bising. Bunyi muzik dan televisyen yang kuat memang boleh mengganggu tidur kita, tetapi bunyi nyamuk berdesing di telinga paling menyakitkan hati dan mengganggu tidur kita! Walaupun anda sudah dilamun mimpi, bunyi nyamuk berdesing boleh membuat anda terjaga, dengan sentakan seperti mandi air sejuk!Tahukah anda bahawa nyamuk lebih suka menggigit bila anda tidak bergerak, lebih-lebih lagi sewaktu anda tidur. Lebih menjengkelkan, makhluk perosak ini tertarik kepada kepala dan bahagian kaki, yang lebih hangat dan ada lebih banyak kelenjar peluh.Untuk memburukkan lagi keadaan, tindakan spontan melibas atau memukul nyamuk yang berlegar di keliling kepala anda hanya membuat anda tersedar daripada lamunan mimpi indah dan menyebabkan anda kehilangan tidur yang berharga.


Hasil pelbagai penyelidikan membuktikan bahawa tidur dan kesihatan saling berkait. Pengarah perubatan serantau Sleep Health Centers di Boston, Massachusetts dan bekas presiden American Academy of Sleep Medicine, Dr Lawrence Epstein, berkata lazimnya kita memerlukan tujuh hingga lapan jam tidur semalam untuk memperoleh kehidupan bermutu, bukan semata-mata untuk menjaga kecantikan kulit dan menyerikan wajah! Jika anda adalah antara begitu ramai orang yang tidak mendapat cukup tidur, berwaspadalah kerana kekurangan tidur boleh menjadi punca beberapa masalah kesihatan. Ia boleh menyebabkan peningkatan berat badan, tekanan darah tinggi dan sistem imun kurang berkesan.


Kekurangan tidur bukan saja boleh menjejaskan kesihatan anda, bahkan boleh mengancam keselamatan anda kerana anda mungkin tertidur ketika memandu. Jadi, bagaimanakah cara kita boleh mendapat tidur dan rehat secukupnya pada waktu malam? Satu daripada cara paling mudah untuk mendapatkan tidur yang berkualiti ialah dengan menetapkan rutin waktu tidur yang sesuai. Lakukan perkara yang sama setiap malam sebelum anda masuk tidur. Sebagai contoh, anda boleh mandi air suam atau membaca selama 10 minit setiap malam sebelum tidur. Menarik langsir dan memperlahankan radio, televisyen dan perkakas lain yang bising juga boleh dijadikan rutin sebelum tidur. Lama-kelamaan, fikiran anda akan mengaitkan aktiviti ini dengan tidur dan membantu membuat anda rasa mengantuk.


Bagi memastikan anda dan insan tersayang dapat tidur tanpa gangguan, jangan lupa untuk menggunakan penghalau nyamuk yang berkesan menjauhkan serangga pengacau ini. Gunakan penghalau nyamuk yang memberikan perlindungan secara berterusan dan konsisten hingga sekurang-kurangnya lapan jam. Dengan penghalau nyamuk zaman sekarang, anda tidak perlu menyalakan api yang boleh menyebabkan kebakaran atau membahayakan keluarga anda. Malah, ada antaranya memberi lebih ketenangan fikiran, kerana ia berkesan dan tidak perlu disambung kepada bekalan elektrik. Ini menjadikannya lebih selamat. Ada banyak cara lain untuk membantu dan membolehkan kita dan keluarga kita mendapat tidur yang secukupnya. Dengan mematuhi beberapa pantang larang yang mudah, kita boleh memastikan keluarga kita mendapat rehat secukupnya untuk melakukan aktiviti harian biasa.
SUMBER:
BERITA HARIAN
JUN 2007

No comments: